Saturday, January 19, 2013

Antara Popular & Super

Yang popular itu tidak semestinya super. Yang super itu tidak semestinya popular....


Tetapi, kebiasaan yang super akan menjadi popular.


Nama-nama penulis yang banyak naik hari ini, belum tentu mereka super. Nak tahu siapa yang super? Kebanyakkan mereka telah meninggal dunia.
Mereka meninggalkan usia mereka, Tapi manusia terus mengingati mereka.


Contoh?


Ahmad bin Abi Duat, seorang yang popular di zaman Khalifah Al-Makmun dan Muktasim. Dia seorang Muktazilah. Mufti negara ketika itu.


Dia menantang seorang yang tidak popular. Bernama Ahmad bin Hambal. Tetapi Ahmad bin Hambal seorang yang super! Sarjana jaguh yang dinukil kata-katanya.


Dia menentang Ahmad bin Abi Duat sehingga dia dihukum dan disebat atas perintah pemerintah ketika itu.


Selepas kedua-duanya meninggal dunia. Orang tidak berapa kenal siapakah itu Ahmad bin Abi Duat. Tetapi orang kenal siapa itu Ahmad bin Hambal. Seorang pengasas Mazhab Hambali. Seorang tokoh Hadis. Seorang pejuang Ahli Sunnah wal jamaah.


Justeru, jika kita popular pada hari ini, belum tentu kita akan popular di masa akan datang. Bahkan, bimbang pula kita dicemuh di hari kemudian.

Thursday, January 17, 2013

Prinsip Dalam Berjuang

Suatu hari, Abu Talib - bapa saudara Nabi dipinta oleh golongan Quraisy untuk menasihati Nabi.


Mereka mahu Nabi menghentikan kerja-kerja menyeru manusia kepada agama Islam. Lalu, apabila Abu Talib menyampaikan permintaan tersebut, maka Nabi menjawab sepertimana yang direkodkan oleh Ibnu Ishak dalam buku sirahnya,


"Wahai pak cikku, seandainya diletakkan matahari di sebelah kananku, dan bulan di sebelah kiriku sekalipun, aku tidak akan meninggalkan kerja-kerja ini! Sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada Islam atau Allah memusnahkannya atas kehendak Allah!"


Benarlah kata-kata berikut,


"Apabila yakin perjuangan kita berada tepat pada orbitnya, maka tidak ada satu meteor walau sebesar Musytari sekalipun yang dapat mengubah milimeter kedudukannya melainkan dengan arahan khusus daripada Tuhan." - Azzah Abdul Rahman, 2013.

Saturday, January 12, 2013

Doa Seorang Ibu Untuk Anaknya, Seorang Ulama

Ibu Syeikh Muhammad Hassan Hafizahullah menelefon anaknya, ketika rancangan LIVE di Televisyen.

Kata Ibunya :

Apa khabar anakku? Semoga Allah memberikan kamu kebahagiaan dan redhaNya. Aku sentiasa berbangga denganmu. Semoga Allah menghilangkan dosa dan kesakitanmu. Dan Dia mengurniakan kebahagiaan dalam hidupmu dengan tubuh sihat.

Semoga Allah melindungi Wahai Muhammad, anak kesayanganku. Semoga Allah menerima doa-doamu, solatmu, dan mengurniakan kurniaan yang banyak, dan banyak lagi.

Semoga Allah kurniakan kebahagiaan pada setiap yang engkau lakukan, di setiap tapak engkau melangkah akan mendapat pahala.

Demi Allah, aku sebutkan ini dari lubuk hatiku. Aku sentiasa berdoa untukmu setiap hari, setiap malam. Khususnya dipertengahan solat tahajud.

Semoga Allah sentiasa memberi pahala kepadamu dan melindungimu.

--------------

Rasulullah pernah bertanya sahabat-sahabatnya :

"Mahukah kalian jika aku nyatakan Dosa yang PALING BESAR?" maka para sahabat menjawab : "Ya, kami mahu ya Rasulullah!"

Rasulullah menyebutkan : "Syirik kepada Allah, dan derhaka kepada ibubapa."

[Hadis direkod oleh Al-Bukhari : 2653]

Thursday, January 10, 2013

Poligami : Lihat kedua-dua sisi

Tidak berpoligami bukanlah suatu masalah. Berpoligami juga bukanlah satu kekurangan. Tetapi, poligami adalah penyelesaian.


Apabila isu poligami ini disebutkan, jangan hanya melihat pada satu sisi sahaja, iaitu wanita.Tetapi lihatlah kepada sisi keduanya, lelaki dan wanita.
Islam menjaga hak lelaki dan wanita dalam poligami.


Apabila seorang lelaki mahu mendapatkan pasangan lagi, dia masih tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan luar seperti zina. Tetapi, dia diberi jalan untuk mendapatkan isteri lagi dengan poligami. Namun, dia perlu mempunyai kemampuan untuk menyara kedua-dua isterinya. Begitu juga, dia perlu yakin sekurangnya 70% bahawa dia mampu berlaku adil.


Jabatan Agama berhak meminta bukti keyakinan 70% tersebut dan kemampuan lelaki berkenaan.


Islam benarkan poligami dengan ikatan syaratnya.


Jika wanita sebutkan tentang, lelaki sekarang tidak sama seperti lelaki di zaman Rasulullah, justeru sudah tidak releven lagi poligami.


Jadi, saya ingin bertanya, adakah wanita zaman sekarang seperti wanita di zaman Rasulullah?

Agama ini tidak diasaskan oleh Nafsu dan kemahuan manusia semata-mata. Tetapi, ia tertegak atas sumber wahyu dari Allah.

Sunday, January 6, 2013

Penulisan Memanjangkan Nyawa

Seorang peserta bengkel penulisan SUPER yang saya kendalikan ada berkata :


"Kalau saya tidak fikirkan kematian, pasti saya tidak datang belajar teknik menulis dengan Tuan."


Ya. Penulisan adalah warisan insan atas muka bumi ini. Andai penulisannya baik dan bermutu, pasti penulisan itu akan terus memberi jasa kepada tuannya.


Sekalipun kita tidak pernah berjumpa Muhammad bin Idris As-Syafiie, tetapi kita sering mendengar namanya dibual-bualkan. Bukunya Al-Uum menjadi rujukan utama dalam dunia Islam.


Sekalipun kita tidak pernah bersua dengan Abu Hamid Al-Ghazali, tetapi kita sering mendengar pandangannya disampai-sampaikan. Buku Al-Ihya` menjadi rujukan dalam dunia Islam.


Mereka ini, nyawa telah tiada. Tetapi mereka masih kekal hidup sehingga hari ini.


Ayuh, panjangkan nyawa dengan penulisan!


--> Daftar Kursus Penulisan Online : http://tinyurl.com/daftarkursus

Tidur itu pahala!

Bismillah.
Dengan nama Allah aku menulis.


Di saat mata ini sukar untuk dilelapkan kerana mengenangkan amanah-amanah yang belum tertunai, jari jemari ini pula seakan terus ligat ingin menuruti kemahuan diri untuk  menaip satu topik yang jarang dikupas tapi sering dipraktikkan.
Tidur.

Tidur itu satu nikmat.
Tidur itu satu hadiah.
Tidur itu satu kerehatan.
Tidur itu ibadah senyap.

Tidur amat penting bagi manusia yang serba lemah.
Allah menghadiahkan para hambaNya fitrah semula jadi iaitu  tidur sebagai satu fasa rehat.
Secara jujur, saya suka tidur dan saya juga seronok apabila melihat sahabat atau saudara saya tidur.Bukan kerana dengkurannya atau lelehan air liur yang menandakan betapa lenanya dia tidur  atau petunjuk kepuasan tidur yang berkualiti.Tetapi, kerana dia menuruti keperluan tubuhnya dan melaksanakan amanah Allah agar menjaga diri sebaiknya!

Allah telah menunjukkan bahawa betapa pemurahnya Allah dengan memberi kita nikmat tidur.
Sepanjang kita tidur, pelbagai kebaikan kita perolehi.Antaranya melancarkan proses metabolisme karbohidrat badan dan meminimumkan risiko sakit jantung.Tidur juga membantu memelihara daya ingatan seseorang dan memulihkan pusingan biologi dalam badan.Itu antara kajian saintifik tentang kebaikan tidur.

"Oleh Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda:
 "Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri." 

MasyaAllah! Hanya dengan berada di atas katil, melelapkan mata dan merehatkan minda kita peroleh pelbagai kebaikan untuk tubuh tercinta!

Apatah lagi jika kita tidur dalam  Islam,Iman dan Ihsan.

Yup!

Tidur dalam dakapan Islam
Tidur dalam pelukan Iman
dan tidur dalam belaian Ihsan!

 Inilah ibadah senyap yang tidak menuntut sebarang kerahan tenaga dan perahan keringat.
Tidur sebagai seorang Muslim dengan melaksanakan suruhanNya sebelum melelapkan mata.Solat dilaksanakan.Maksiat ditinggalkan.
Tidur sebagai seorang mukmin dengan terus berpegang teguh dengan kalimah "La ila ha illah Muhammadur Rasulullah" sehingga terbuai lena
Serta tidur dalam keadaan merasakan Allah memerhati setiap gerak geri kita.Bukankah Allah itu Maha Melihat?

Dan, disaat itu jugalah, tidur bakal meng"top -up" segala lopong pahala dalam ibadah yang kita laksana.Dan menjadi makanan rohani yang paling lazat dan berkhasiat.Menyihatkankan tubuh luar dan dalam.

Bayangkanlah jika sepanjang empat jam waktu rehat kita itu pahala mengalir deras terus menerus...
Hujan maghfirah daripada Allah membasahi tubuh dan jiwa..
Pastinya, kitalah manusia paling gembira.Dan pastinya kita ingin terus tidur.
Menunggu detik untuk tidur keranaNya.

Islam itu juga besederhana.Jangan pula selepas membaca artikel ini, para pembaca hanya mahu tidur.Apabila ditanya apa matlamat hidup?.Jawapan kita, tidur. Itu silap.Tidur ini adalah salah satu aktiviti termudah untuk menuju redhaNya tapi jarang manusia sedari.

Ini hanya misalan mudah tentang pemurahnya Allah.
Andai dengan kerehatan Allah sudi memberikan pahala, inikan pula pengorbanan yang cuba kita salurkan.Pastinya, berjuta kali ganda disisi Allah!

"Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis!"

Saudara seaqidah,

 Berusahalah dengan sebenar-benar usaha walaupun usaha kita itu kecil.Andai kita memilih tidur sebagai amanah yang mampu kita laksana, tidurlah untuk menggapai redhaNya~

Tidurlah kerana tidur itu percuma dan  tidur itu pahala!

(^^)







Thursday, January 3, 2013

Bengkel Penulisan Super : Individu

Syukur kepada Allah. Selesai ‘Bengkel Penulisan Super’ pada 03 Januari 2013. Sebuah bengkel pembuka tirai untuk tahun ini.

Bengkel dijalankan di Negeri Dumyat, Mesir.

Hari ini pesertanya ialah Tuan Ghazali Ad-Dumyati, seorang graduan Syariah Universiti Al-Azhar.

Teknik yang didedahkan kepada Tuan Ghazali ialah :

  1. Teknik Penulisan untuk si Dummy
  2. Teknik Penulisan Kj Methode & Sticky Note
  3. Teknik Penulisan Fasa Mekah & Madinah
  4. Teknik merancang penulisan menggunakan Mind Map

Disamping itu, bengkel juga mendedahkan Tip Penulisan Super! Alhamdulillah. Segalanya selesai selepas 4 jam.

 gambar