Showing posts with label Artikel Penulis. Show all posts
Showing posts with label Artikel Penulis. Show all posts

Saturday, January 19, 2013

Antara Popular & Super

Yang popular itu tidak semestinya super. Yang super itu tidak semestinya popular....


Tetapi, kebiasaan yang super akan menjadi popular.


Nama-nama penulis yang banyak naik hari ini, belum tentu mereka super. Nak tahu siapa yang super? Kebanyakkan mereka telah meninggal dunia.
Mereka meninggalkan usia mereka, Tapi manusia terus mengingati mereka.


Contoh?


Ahmad bin Abi Duat, seorang yang popular di zaman Khalifah Al-Makmun dan Muktasim. Dia seorang Muktazilah. Mufti negara ketika itu.


Dia menantang seorang yang tidak popular. Bernama Ahmad bin Hambal. Tetapi Ahmad bin Hambal seorang yang super! Sarjana jaguh yang dinukil kata-katanya.


Dia menentang Ahmad bin Abi Duat sehingga dia dihukum dan disebat atas perintah pemerintah ketika itu.


Selepas kedua-duanya meninggal dunia. Orang tidak berapa kenal siapakah itu Ahmad bin Abi Duat. Tetapi orang kenal siapa itu Ahmad bin Hambal. Seorang pengasas Mazhab Hambali. Seorang tokoh Hadis. Seorang pejuang Ahli Sunnah wal jamaah.


Justeru, jika kita popular pada hari ini, belum tentu kita akan popular di masa akan datang. Bahkan, bimbang pula kita dicemuh di hari kemudian.

Thursday, January 17, 2013

Prinsip Dalam Berjuang

Suatu hari, Abu Talib - bapa saudara Nabi dipinta oleh golongan Quraisy untuk menasihati Nabi.


Mereka mahu Nabi menghentikan kerja-kerja menyeru manusia kepada agama Islam. Lalu, apabila Abu Talib menyampaikan permintaan tersebut, maka Nabi menjawab sepertimana yang direkodkan oleh Ibnu Ishak dalam buku sirahnya,


"Wahai pak cikku, seandainya diletakkan matahari di sebelah kananku, dan bulan di sebelah kiriku sekalipun, aku tidak akan meninggalkan kerja-kerja ini! Sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada Islam atau Allah memusnahkannya atas kehendak Allah!"


Benarlah kata-kata berikut,


"Apabila yakin perjuangan kita berada tepat pada orbitnya, maka tidak ada satu meteor walau sebesar Musytari sekalipun yang dapat mengubah milimeter kedudukannya melainkan dengan arahan khusus daripada Tuhan." - Azzah Abdul Rahman, 2013.

Saturday, January 12, 2013

Doa Seorang Ibu Untuk Anaknya, Seorang Ulama

Ibu Syeikh Muhammad Hassan Hafizahullah menelefon anaknya, ketika rancangan LIVE di Televisyen.

Kata Ibunya :

Apa khabar anakku? Semoga Allah memberikan kamu kebahagiaan dan redhaNya. Aku sentiasa berbangga denganmu. Semoga Allah menghilangkan dosa dan kesakitanmu. Dan Dia mengurniakan kebahagiaan dalam hidupmu dengan tubuh sihat.

Semoga Allah melindungi Wahai Muhammad, anak kesayanganku. Semoga Allah menerima doa-doamu, solatmu, dan mengurniakan kurniaan yang banyak, dan banyak lagi.

Semoga Allah kurniakan kebahagiaan pada setiap yang engkau lakukan, di setiap tapak engkau melangkah akan mendapat pahala.

Demi Allah, aku sebutkan ini dari lubuk hatiku. Aku sentiasa berdoa untukmu setiap hari, setiap malam. Khususnya dipertengahan solat tahajud.

Semoga Allah sentiasa memberi pahala kepadamu dan melindungimu.

--------------

Rasulullah pernah bertanya sahabat-sahabatnya :

"Mahukah kalian jika aku nyatakan Dosa yang PALING BESAR?" maka para sahabat menjawab : "Ya, kami mahu ya Rasulullah!"

Rasulullah menyebutkan : "Syirik kepada Allah, dan derhaka kepada ibubapa."

[Hadis direkod oleh Al-Bukhari : 2653]

Thursday, January 10, 2013

Poligami : Lihat kedua-dua sisi

Tidak berpoligami bukanlah suatu masalah. Berpoligami juga bukanlah satu kekurangan. Tetapi, poligami adalah penyelesaian.


Apabila isu poligami ini disebutkan, jangan hanya melihat pada satu sisi sahaja, iaitu wanita.Tetapi lihatlah kepada sisi keduanya, lelaki dan wanita.
Islam menjaga hak lelaki dan wanita dalam poligami.


Apabila seorang lelaki mahu mendapatkan pasangan lagi, dia masih tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan luar seperti zina. Tetapi, dia diberi jalan untuk mendapatkan isteri lagi dengan poligami. Namun, dia perlu mempunyai kemampuan untuk menyara kedua-dua isterinya. Begitu juga, dia perlu yakin sekurangnya 70% bahawa dia mampu berlaku adil.


Jabatan Agama berhak meminta bukti keyakinan 70% tersebut dan kemampuan lelaki berkenaan.


Islam benarkan poligami dengan ikatan syaratnya.


Jika wanita sebutkan tentang, lelaki sekarang tidak sama seperti lelaki di zaman Rasulullah, justeru sudah tidak releven lagi poligami.


Jadi, saya ingin bertanya, adakah wanita zaman sekarang seperti wanita di zaman Rasulullah?

Agama ini tidak diasaskan oleh Nafsu dan kemahuan manusia semata-mata. Tetapi, ia tertegak atas sumber wahyu dari Allah.

Sunday, January 6, 2013

Penulisan Memanjangkan Nyawa

Seorang peserta bengkel penulisan SUPER yang saya kendalikan ada berkata :


"Kalau saya tidak fikirkan kematian, pasti saya tidak datang belajar teknik menulis dengan Tuan."


Ya. Penulisan adalah warisan insan atas muka bumi ini. Andai penulisannya baik dan bermutu, pasti penulisan itu akan terus memberi jasa kepada tuannya.


Sekalipun kita tidak pernah berjumpa Muhammad bin Idris As-Syafiie, tetapi kita sering mendengar namanya dibual-bualkan. Bukunya Al-Uum menjadi rujukan utama dalam dunia Islam.


Sekalipun kita tidak pernah bersua dengan Abu Hamid Al-Ghazali, tetapi kita sering mendengar pandangannya disampai-sampaikan. Buku Al-Ihya` menjadi rujukan dalam dunia Islam.


Mereka ini, nyawa telah tiada. Tetapi mereka masih kekal hidup sehingga hari ini.


Ayuh, panjangkan nyawa dengan penulisan!


--> Daftar Kursus Penulisan Online : http://tinyurl.com/daftarkursus

Monday, December 31, 2012

Usul Periksa Terlebih Dahulu

Setelah selesai peperangan antara umat Islam dan Bani Muthaliq, ramai pengikut Bani Musthaliq menganut Islam. Mereka merasa tersentuh apabila Rasulullah mengahwini anak pemimpin mereka. Rasulullah berkahwin dengan Juwairiah, anak kepada Al-Haris bin Dhirar.

Apabila tersebar berita perkahwinan tersebut, para sahabat berkata: “Adakah layak para ipar-ipar Rasulullah berada di bawah tawanan kita?” Lantas mereka membebaskan semua tawanan dari bani Musthaliq .

            Setelah bani Musthaliq melihat kemuliaan perilaku Rasulullah dan para sahabat baginda, mereka terus memeluk agama Islam. Antara mereka adalah Al-Haris bin Dhirar, bapa Juwairiah.

Al-Haris bercerita :

            Aku telah berjumpa Rasulullah, dan dia mengajakku memeluk Islam. Aku menyetujuinya. Baginda menyeru aku untuk mengeluarkan Zakat, aku menyetujuinya. Aku berkata :

“Wahai Rasulullah, aku akan balik kepada Bani Musthaliq dan akan mengajak mereka kepada Islam serta menunaikan zakat. Orang-orang yang mengikuti ajakanku, akan aku kumpulkan zakatnya. Apabila telah tiba waktunya, kirimkanlah utusan untuk mengambil zakat yang telah ku kumpulkan itu.”

Ketika Al-Haris telah banyak mengumpulkan zakat, dan waktu yang sudah ditetapkan pun telah tiba, tidak ada seorangpun utusan yang datang menemuinya. Al-Haris menyangka telah terjadi sesuatu yang menyebabkan Rasululllah marah kepadanya. Ia pun memanggil para hartawan kaumnya dan berkata : “Sesungguhnya Rasulullah telah menetapkan waktu untuk mengutus seseorang untuk mengambil zakat yang telah ada padaku, dan beliau tidak pernah menyalahi janji. Akan tetapi aku tida tahu kenapa belliau menangguhkan utusannya itu. Mungkinkah beliau marah? Mari kita berangkat menghadap Rasulullah..”

Rasulullah pada waktu yang telah ditetapkan mengutus al-Walid bin ‘Uqbah untuk mengambil dan menerima zakat yang berada pada Al-Haris. Ketika al-Walid berangkat, diperjalanan hatinya merasa gentar, lalu dia pun pulang sebelum sampai tempat yang dituju. Dia melaporkan laporan palsu kepada Rasulullah. Bahwa Al-Haris tidak mahu menyerahkan zakat kepadanya – mereka telah murtad, bahkan mengancam akan membunuhnya.

Kemudian Rasulullah mengirikan Khalid Al-Walid kepada Bani Musthaliq. Tetapi Rasulullah berpesan untuk memastikan terlebih dahulu, jangan tergesa-gesa. Lalu, Khalid pergi. Ketika sampai – ketika itu waktu malam, Khalid berjumpa dengan rombongan Al-Haris. Al-Haris memberi tahu bahawa Bani Musthaliq  masih teguh dengan Islam, mereka melaungkan  azan dan bersolat.

Al-Haris bertanya Khalid : “Kepada siapa engkau diutuskan?” Khalid menjawab: “Kami diutus kepadamu”. Dia bertanya : “Mengapa?” Khalid menjawab: “Sesungguhnya Rasulullah telah mengutus al-Walid bin ‘Uqbah. Namun dia mengatakan bahwa engkau tidak mahu menyerahkan zakat, bahkan bermaksud membunuhnya.” Al- Harits menjawab : “Demi Allah yang telah mengutus Muhammad dengan sebenar-benarnya, aku tidak melihatnya. Tidak ada yang datang kepadaku.”

Ketika mereka sampai di hadapan Rasulullah., bertanyalah Rasulullah: “Mengapa engkau menahan zakat dan akan membunuh utusanku?” Al-Haris menjawab: “Demi Allah yang telah mengutus engkau dengan sebenar-benarnya, aku tidak berbuat demikian.” Maka turunlah ayat keenam surah al-Hujurȃt ayat 6 sebagai peringatan kepada kaum mukmin agar tidak menerima keterangan dari sebelah pihak saja.

-           Kisah ini boleh dirujuk dalam Tafsir Imam At-Thobari dan Tafsir Imam Ibnu Kathir ketika mereka berdua menjelaskan ayat 6 surah Al-Hujurat.

Thursday, December 27, 2012

Manuskrip “Fiqh Islam & Kemusykilan Agama” sudah dihantar

Alhamdulilah. Kemudian? Alhamdulillah lagi.

fiqh islam

Manuskrip “Fiqh Islam & Kemusykilan Agama” sudah dihantar kepada penerbit.

Buku ini merupakan kumpulan penulisan saya sejak 2009 di blog Aljazary.blogspot.com. Dikumpulkan, dinilai semula, dan dijilidkan menjadi sebuah buku.

Saya tidak rekodkan semua penulisan di blog tersebut, tetapi saya memilih kategori Fiqah sahaja. Inilah kategori yang menjadi bidang saya dalam penulisan.

Di blog, saya tidak meletakkan sumber-sumber rujukan berbahasa Arab. Tetapi di dalam buku ini, saya sertakan rujukan tersebut supaya ia dapat memudahkan pembaca dan pengkaji ilmu.

Metodologi Fiqh

Saya mempelajari Fiqah yang tiada keterbatasan Mazhab. Itulah sistem pendidikan Universiti Al-Azhar, Mesir. Namun, saya mengikat diri dengan penulisan Fiqah bermazhabkan Syafiie. Justeru, seandainya pandangan yang terdapat di dalam buku ini tidak disertakan sebarang dalil atau hujah, sila rujuk semula pandangan Mazhab Syafiie berkenaannya.

Semoga penulisan ini dapat ‘memanjangkan’ nyawa saya, dan memberi keberkatan dalam hidup saya. Juga pembaca.

Doakan buku ini berjaya diterbitkan.

 

Allah lebih mengetahui.

 

Syihabudin Ahmad,

Musim Sejuk. Dumyat, Mesir.

28 Disember 2012.

Sayyidah Juwairiah binti Al-Haris : Dari Tawanan Menjadi Isteri Rasulullah

Sebahagian isteri Rasulullah dinikahi bagi menyatukan hatinya dan isterinya, serta dengan kabilah sekitarnya. Sepertimana yang diketahui, sekiranya seseorang individu itu mengahwini salah seorang wanita dari suatu kabilah, puak atau bangsa, maka dia akan menjadi salah seorang dari mereka. Dengan itu, mereka akan saling tolong menolong antara satu sama lain dan saling kuat menguatkan antara mereka.

Sayyidah Juwairiyah binti Al-Haris dikahwini atas hikmah ini. Dia merupakan anak ketua bani Musthaliq yang ditawan ketika peperangan. Lalu dia mahu membebaskan dirinya dengan membayar fidyah. Lantas dia berjumpa dengan Rasulullah dan meminta pertolongan dari baginda. Rasulullah memberi cadangan kepada Sayyidah Juwairiah untuk mengahwininya dengan mahar bayaran fidyah, lalu dipersetujui.

Apabila tersebar berita perkahwinan tersebut, para sahabat berkata: “Adakah layak para ipar-ipar Rasulullah berada di bawah tawanan kita?” lantas mereka membebaskan semua tawanan dari bani Mustholiq.

Setelah bani Musthaliq melihat kemuliaan perilaku Rasulullah dan para sahabat baginda, mereka terus memeluk agama Islam. Setelah itu, Bani Mustholiq menjadi satu kabilah yang sangat kuat menyokong dan menyebarkan dakwah Islam.

Wednesday, December 26, 2012

Anjing & Kajian Saintifik

Menurut pendapat yang terpilih, anjing itu sendiri tidaklah bernajis. Tetapi bekas minumnya, dan basahan anjing seperti air liur, hingus dan tahinya adalah najis.

Boleh Menyentuh Najis?

Najis boleh disentuh, tetapi mestilah dibersihkan setelah itu.

Kajian Saintifik

Kajian saintifik membuktikan bahawa tanah mempunyai antiseptic. Apabila ia digaulkan bersama bakteria yang terdapat pada air liur dan basahan anjing, ia dapat membersihkan segera bakteria tersebut. Ianya hanya boleh dibersihkan dengan tanah sahaja!

Mengapa perlu tujuh kali?

Bakteria yang terdapat pada basahan anjing bersaiz amat kecil dan bersifat melekat dengan kuat. Oleh itu, basuhan sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air tanah dapat membantu menghilangkan bakteria ini.

Ahli sains juga menyatakan, ramai orang mati disebabkan bakteria septic, jika ia tidak dibersihkan akan mengakibatkan kuman tersebut akan tersebar. Maka, suruhan Nabi untuk membersihkan bekas yang dijilat anjing amat releven.

Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa apabila anjing yang diajar berburu menggigit suatu binatang buruan, ia akan mengeluarkan air liur yang berbeza dari air liur biasa. Dan air liur ini mengandungi enzim yang berbeza. Tidak memudaratkan.

Untuk lebih memahami permasalahan kajian saintifik ini, sila hubungi pakar sains yang berkaitan. Wallahu alam.

Tuesday, December 25, 2012

Perkahwinan & Wanita Dumyat

Perkahwinan merupakan hubungan yang sah antara lelaki dan wanita. Ia menghubungkan antara dua buah keluarga.  Ia menjadi penyebab kebahagiaan dan bukti rasa cinta. Perkahwinan membuktikan manusia itu normal.
 
Tanpa perkahwinan, manusia tidak tentu arah. Tidak tahu yang mana halal dan haram. Tidak kenal apa yang disuruh dan apa yang dilarang. Demikian berlaku kepada ramai orang.
 
Para ulama Fiqh mendefinasikan perkahwinan sebagai : Sebuah perjanjian yang mengandungi kebenaran bersenang lenang antara kedua pasangan – pada perkara yang dibenarkan.[1]
 
Ini bermakna, sebelum berkahwin lelaki dan wanita yang tiada sebarang hubungan kekeluargaan tidak boleh duduk dibawah satu bumbung. Mereka tidak boleh bersentuhan. Tidak boleh berkata-kata manis yang melampaui had hubungan lelaki dan wanita, dan sebagainya.
 
Tetapi, perkahwinan menghalalkan kesemua perkara tersebut. Lelaki boleh membelai isterinya. Wanita boleh memeluk suaminya. Keduanya boleh bersenang lenang dengan hiburan yang mereka inginkan.
 
Sungguh, perkahwinan itu mendamaikan bagi mereka yang telah merasainya!
 
Tidak hairanlah Nabi Muhammad pernah berkata pada suatu hari :
 
Maksudnya: Wahai para pemuda sekelian, siapa yang mempunyai kemampuan di antara kalian, hendaklah dia berkahwin. Perkahwinan dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Bagi siapa yang tidak mampu berkahwin pula, hendaklah dia berpuasa. Kerana puasa dapat menghalang nafsunya.
[Direkod oleh Al-Bukhari: 5066]
 
Demikian juga, Nabi sangat suka apabila umatnya berkahwin. Perkahwinan menjadikan bilangan umat Islam menjadi banyak.
 
Kata Nabi Muhammad:
 
Maksudnya: Berkahwinlah dengan wanita yang boleh melahirkan banyak anak. Aku sangat suka apabila umatku menjadi banyak.
[Direkod oleh Abu Daud da An-Nasaie, Sahih]
 
Justeru, bagi yang sudah mempunyai kemampuan berkahwin, cepat-cepatlah mendirikan rumahtangga kebahagiaan. Takut kelak menyesal dek lambat menunaikannya.
 
 
Dumyat 2010
 
Tahun 2010, menyaksikan mahasiswa Universiti Al-Azhar dari negeri Dumyat berkahwin beramai-ramai. Dulunya, mereka hanyalah sekelompok kumpulan pelajar lelaki yang belajar tidak sekelas dengan wanita. Bahkan tidak pernah pula terjumpa wanita melayu di negeri mereka!
 
Jika ada wanita melayu yang ingin berkunjung mengutip kerang Dumyat, mereka perlu memaklumkan kepada Pengerusi persatuan terlebih dahulu. Tidak boleh berseorangan, perlu berkumpulan. Ketat peraturannya.
 
Tragedi Revolusi Mesir 25 Januari 2010 telah menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia di Mesir dibawa pulang. Ia merupakan suatu tragedi yang membimbangkan sebahagian pihak, dan menggembirakan sebahagian yang lain. Antara mereka yang merasa bahagia dengan tragedi ini adalah pelajar Dumyat.
 
Kami dihantar pulang oleh kerajaan Malaysia dari Dumyat ke Iskandariah, kemudian berhenti rehat di Jeddah, Arab Saudi. Hampir seminggu disana, barulah kapal terbang Malaysia Airline (MAS) tiba. Kami adalah kumpulan terakhir yang pulang ke Malaysia.
 
Sampai di Malaysia, kami disambut dengan wakil dari Kerajaan Negeri masing-masing. Saya pula menumpang bantuan dari negeri Kedah kerana pelajar Perlis dari Dumyat ketika itu hanyalah seorang.
 
Hampir empat bulan kami di Malaysia. Masing-masing bimbang dengan peperiksaan yang akan dihadapi pada bulan Mei.
 
April, kami dibantu oleh kerajaan negeri masing-masing untuk kembali ke Mesir.
 
Tiba di Mesir. Pelik apabila sudah ada WANITA di Dumyat. Rakan-rakan sekelas yang dahulunya dilihat tidak berpotensi kawin awal, kini sedang berjalan berkepit tangan dengan wanita. Eh, suami isteri rupanya!
 
Saya yang beriya-iya ingin berkahwin pada tahun tiga pengajian pula, masih lagi terkontang kanting. Itu namanya, jodoh dan tuah!
 
Tiba-tiba, menjadi adat pula di Dumyat, siapa yang sudah berkahwin akan mendapat keputusan peperiksaan yang tidak mengecewakan. Sekurang-kurangnya lulus, tapi banyak  yang mendapat keputusan cemerlang!
 
Seorang rakan yang telah berkahwin, bila ditanya tentang perkara itu. Dia berkata: “Perkahwinan itu suatu yang menyeronokkan!”
 
Itulah perkahwinan.  


[1] Ruj. Fiqh Al-Muyassar, Maktabah Salsabil, Kaherah. 2009. M/s: 290

Monday, December 24, 2012

Hukum Membaca Bible

Soalan : Kadangkala, saya membaca beberapa potong ayat yang terdapat dalam Bible (Injil). Saya tidak tahu adakah ia kata-kata Allah ataupun kata-kata manusia. Saya tidak dapat membezakannya. Ayat-ayat ini mengajak kepada aklak terpuji, lalu saya kagum dengannya. Akan tetapi, menjadi kerungsingan pada saya adalah: adakah ia kata-kata Allah atau kata-kata manusia? Seandainya saya merasa kagum sedangkan ia adalah kata-kata manusia, maka saya telah merestui penyelewengan, lalu saya menjadi kafir. Seandainya pula saya bersungguh-sungguh dengan diri (menafikannya) sehingga saya tidak merasa sebarang kekaguman terhadap ayat tersebut, padahal ia adalah kata-kata Allah, maka bagaimana mungkin saya membenci kata-kata Allah dan menentangnya? Saya memohon jawapan terhadap perkara yang membingungkan saya ini.

Jawapan :

Tidak boleh menyangka bahawa apa yang terdapat dalam Bible sekarang ini adalah dari kata-kata Allah. Begitu juga, tidak boleh bersetuju bahawa Bible yang ada pada hari ini adalah seperti yang diturunkan kepada Nabi Isa.

Secara umumnya, Orang Islam yang beriman hendaklah mempercayai (Injil) yang telah diturunkan kepada Nabi Isa, serta menjauhi segala buku-buku yang menyeleweng. Di-haram-kan melihat buku-buku yang menyeleweng ini bagi orang awam.

Al-Bukhari merekodkan kata-kata Nabi Muhammad:

Jangan membenarkan (dakwaan) Ahli Kitab, dan jangan pula membohongi mereka. Sebutlah bahawa : Kami beriman dengan Allah dan apa yang diturnkan kepada kami ...

[Rekod Al-Bukhari : 4485]

Al-Bahuti menyebutkan dalam bukunya “Kasyyaf Al-Qina`” : Tidak boleh memandang kepada buku-buku Ahli Kitab kerana Nabi pernah marah apabila melihat Taurat disisi Umar.

Jawatankuasa Fatwa Antarabangsa pula menyatakan : Buku-buku (agama) Langit yang lalu telah terdapat penyelewengan, tambahan, dan pengurangan sepertimana yang disebutkan Allah tentang hal tersebut. Maka, tidak boleh bagi seorang Muslim untuk membacanya kecualilah bagi orang-orang berilmu yang mahu menjelaskan penyelewengan dan melawannya.

Ada pula pada kata-kata yang baik, yang terdapat di dalam Bible. Ini tidaklah menguatkan yang ia adalah kata-kata Allah, kerana kata-kata sebegini telah wujud juga dalam Syair-syair arab Jahiliah.

_________________

Penterjemah : Syihabudin Ahmad

Rujukan Asal : Klik

Glosari Penterjemah :

(1) Agama Langit : Islam, Kriestien & Yahudi

(2) Buku Agama Langit :

1. Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa AS berbahasa Ibrani
2. Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud AS berbahasa Qibti
3. Kitab Injil diturunkan kepada Nabi Isa AS berbahasa Suryani
4. Kitab Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berbahasa Arab

nnn

Sunday, December 23, 2012

Detik. Tulis.

Jari jemari berlari-lari,
Meniti hidup tanpa digari,
Mungkin nanti aku mati,
Biar terus aku diingati.

Menulis.

Kerana Tuhan aku tulis.
Kerana cinta tidak berkalis,
Kerana sayang si Alis,
Lalu ku mula detik - tulis.

________
Syihabudin Ahmad,
Dumyat, Mesir.
23/12/12